Wednesday, March 25, 2009

Resing( Cuora amboinensis)

Resing yang terdapat banyak dikampong kami diRelong iaitu dalam Sungai Teris dan juga dalam sawah, manakala yang kecil digelar bani terdapat dalam kebun-kebun getah.Hari ini jarang amat saya temui lagi.Resing ini macam juga memerang akan memakan ikan-ikan kami dalam jaring, lukah atau ranggas.Ini membuat kami marah kat dia.Dari segi saintifiknya haiwan ini adalah dalam kategori kura-kura atau tutung.Resing memakan ikan-ikan yang kami tangkap menggunakan jaring,lukah dan ranggas yang saya katakan tadi.Selain itu dia juga memakan daun-daun kayu dan rumpai dalam paya atau sungai.Hari ini saya lihat kura-kura jenis kecil banyak terdapat dikedai binatang belaan dan anak saya pernah membelanya hingga jinak, tetapi bila kami pindah kePutrajaya dahulu terpaksa kami tinggalkan dalam kolam mini zoo MPK, dan kini saya agak telah besar dan mungkin telah bertelor.

Masa saya kecil dahulu ada juga saya dapati resing ini bertelor diatas pulau kecil dalam gedong wan, bila kami mandi sama Jefri selalu pergi menengok telor resing ini tapi kami tidak mengambilnya kerana kami ingat telor dia tidak boleh dimakan.Bagi resing yang kami dapat lekat pada jaring atau termasuk dalam ranggas biasanya kami akan ambil dan tidak membunuhnya tetapi kami membawa resing itu kepada cina yang berkerja dan mendiami kongsi dikuari guabama sebelum ianya ditutup.Sebagai habuannya kami selalu mendapat kepingan-kepingan mercun dari cina perkerja kuari tersebut.Mendapat mercun ini begitu mengembirakan kami kerana kami suka membakarnya dan meletakan dibawah tempung kelapa, dan bila meletup kami begitu melonjak kegembiraan kerana tempurung ini melambung dan kadang-kadang pecah berkecai.Bila saya ingatkan ini semua baharulah saya teringat kepada kaum india bila mereka meraikan pesta menghempas buah kelapa bagi perayaan mereka.Mereka begitu teruja macam juga kami bebudak dahulu.Jadi inilah pertalian kegembiraan yang bertali-tali yang boleh meransang kita untuk terus hidup kerana hidup ini ibarat satu rantaian yang bersambung-sambung dan akan berakhir bila sampai kepenghujungnya.Adakah kita merenunginya semua ini ?

Akhirnya saya juga teringat cerita klasik tentang sang kura-kura yang bertanding atau berlawan lari dengan arnab yang berkesudahan dengan kemenangan sang kura-kura berkat ketabahan dan kesabarannya dalam satu perjuangan yang perlu kita contohi.Namun begitu janganlah kita pula terikut pantun tentang kura-kura yang berbunyi Kura-kura diatas perahu,pura-pura tidak tahu.Jadi anda sekelian tentu bijak membuat keputusan bukan gitu ?

Dr Aminudin

No comments: