Monday, October 26, 2009

Anekdot 16-Cagu,Cengkering dan Cirit

Pada keseluruhan kisah-kisah semasa saya kecil disungaibatudeRelong ini kebanyakannya membayangkan suasana kegembiraan dan keceriaan sahaja.Namun begitu sudah tentulah kami bebudak akan merasa sakit atau ditimpa sakit.Ada juga saya coretkan tentang bila saya demam akan berjampi dengan Tok Pawang Muhammad dari Kampung Bapong.Kali ini ingin saya coretkan tentang beberapa penyakit yang sering juga kami alami semasa kami kecil disungaibatu.Pertamanya ialah penyakit Cagu yang merupakan penyakit pada kuku kaki bebudak.Penyakit ini mungkin disebabkan kuman kerana kami selalu bermain dipaya,dibatas-batas dan juga mandi digedung.Maklumlah kalau kita turun kesawah membantu emak dan ayah kami suka bermain lumpur seperti yang saya ceritakan.Lumpur ini memang saya suka "lecek" dan usap bila musim mencangkul sawah.Ini adalah kerana selain mengaul-gaul tanah lumpur itu saya sering berjumpa anak-anak ikan seperti puyu dan toman yang boleh saya jadikan umpan "tajo" untuk mendapat bapak toman pula.Jadi cagu ini yang sering menghinggapi kaki-kaki kami bebudak sungaibatu.Saya masih ingat kaki Abang Hamed, sepupu saya kena penyakit cagu yang agak teruk dan dibuang kuku ibu jari kakinya oleh ayah saya.Saya rasa hingga sekarang dia masih ingat peristiwa tersebut.

Demam cengkering pula adalah demam yang menyakitkan bebudak dizaman kami.Malahan yang kena demam cengkering tidak dapat bermain dengan kawan-kawan yang lain kerana kami lari dari dia takut kalau-kalau berjangkit.Demam ini yang teruknya ialah habis badan berkudis.Jadi biasanya bila kena demam ini kena berjampi dengan minum air kelapa supaya semua cengkering itu keluar.Selepas semua cengkering sudah keluar kita kena menderita pula supaya kudis itu baik pula.Apa yang saya ingat bila saya kena demam ini, emak akan pergi kerumah Pakatih Hassan ,diTeha mengambil daun dari pokok cengkering ini untuk buat rebusan bagi mandi bagi pemulihan dan ubat bagi kudis cengkering ini.Hari ini pokok yang batangnya "bergerutu" itu payah lagi untuk kita jumpa sekarang, kalau ada eluk diselidik khasiatnya kerana zaman sekarang produk herba dinegara kita semakin popular hinggakan FELDA menerjuni bidang ini.

Penyakit cirit ini sebenarnya bukanlah penyakit yang serius benar ketika kami kecil-kecil, ia adalah hasil kami memakan buah-buahan seperti jambu merah atau kami disungaibatu panggil jambu bertih,mempelam,pauh,macang,nenas,belimbing,jambu bangkok dan lain.Buah-buah muda inilah yang kami buat "cengcolet" iaitu makan bersama kicap,lada dan gula yang digaulkan.Ini yang membuat airlior kita jadi "bedecor" dan meleleh melihatnya. Kami makan "cengcolet" beramai-ramai selepas bermain perang,gasing,dengkat,batu tangkup,congkeh dan lain-lain.Malahan kalau musim buah mempelam atau pauh orang-orang dewasa macam Akak Milah dan Abang Mat pun ikut makan bersama kami bebudak masa itu. Jadi kalau makan benda-benda masam ini selalu lagi berak cair dan jalan paling selamat ialah melepas dalam celah-celah pokok padi dalam sawah.Jadi untuk mengubati cirit ini kami selalu diberi mimum air rebusan pucuk jambu batu oleh emak. Ada juga seingat saya kami termasuk orang kampung yang makan kenduri kawin kena ciri birit sebab makan gulai daging kerbau.Mengikut Abang Mat kalau kita alihkan atau terajangkan kayu penyepit leher tempat sembelih kerbau itu kita semua akan cirit bila memakan gulai tersebut.Sampai sekarang saya ingat betul pantang larang ini sebagai kenangan tentang cirit birit ini.Sungguh menghairankan ?

Dr Aminudin

No comments: