Wednesday, April 28, 2010

Pengenalan Terhadap Kajian Hikayat Seri Rama Sebagai Naskhah Tertua DiNusantara -Atipan XXV (Pembuktian Ianya Ditulis Oleh Orang Lembah Bama)


2.Pada mukasurat 33,dalam Hikayat Seri Rama ada dicoretkan oleh penulisnya seperti berikut :-

" Maka dititahkan segala rakyat semua menebas kayu itu maka barang ada rakyat semuanya memegang beliong,kapak menebas kayu itu.Maka barang kayu itu habislah adzamat bunyi pohon dalam rimba belantara itu "

Analisis dan Realiti Dalam Kehidupan DiLembah Bama - menebas mengikut Kamus Dewan ialah menebang pokok-pokok dalam hutan,beliong pula ialah sejenis kapak yang matanya melintang (pekakas tukang kayu).Saya telah mencoretkan bagaimana keluarga kami membuat cerang (ladang )atau kebun getah yang hendak ditanam getah diBukit Perupok,Kampong Relong.Jadi sebelum dibuat kebun itu , ayah dan beberapa orang kampung pergi menebang pokok-pokok besar diBukit Perupok dengan mengunakan beliong.Setelah itu barulah pokok-pokok kecil pula ditebang dengan menggunakan kapak atau parang panjang.Setelah diterang kami sekeluarga akan memerun atau membakar kayu-kayu kecil itu dan menerangkan kawasan kebun untuk ditanam getah itu. Inilah realiti cara untuk membuka cerang atau ladang bagi kebun getah.Walaupun hari ini amat jarang lagi kita lihat beliong digunakan dikampung kami ,tapi orang-orang tua dikampung masih mengingatinya dan mengenalinya hingga kini.Bagitu juga usaha menebas ini masih diamalkan oleh orang Kampung Relong secara berderau bagi membersih kebun buahan atau kebun getah hingga kehari ini.Ini masih saya ingat lagi bila sesuatu kebun orang kampung untuk diperiksa oleh pegawai RISDA, mereka berderau membersih kebun getah.Misalnya kebun getah emak saya, kebun getah Akak Nab dan juga kebun getah Encik Akob.Mereka berderau menebas kebun dan saya selalu mengikut mereka kerana ingin makan pulut yang dicecah sambal ikan bilis atau ikan kering yang disediakan apabila habis berderau.

Ayat dari perkataan diatas yang masih kami gunakan oleh orang Lembah Bama adalah seperti berikut :-

2.1.Menebas- Keluarga kami selalu berderau menebas kebun getah kami diBukit Perupok,Kampung Relong apabila tiba masa untuk diperiksa oleh pegawai RISDA.

2.2.Beliong- Saya dapati sudah jarang orang Kampung Relong menggunakan beliong apabila hendak menebang pokok-pokok dihutan, namun demikian ada juga saya lihat orang menjual mata beliong dikedai besi dibandar Kuala Lipis.

3.Dimuka surat 52, dalam Hikayat Seri Rama diceritakan oleh pengarangnya sedemikian ," Setelah sudah makan nasi maka hidangan pelbagai makanan diangkat oranglah "

Analisis dan Realiti Kehidupan diLembah Bama- "setelah sudah makan nasi " adalah ungkapan yang jelas maknanya yang semua para pembaca budiman sekelian memahaminya. Namun diKampung Relong yang uniknya apabila ada kenduri kahwin maka semasa saya kecil menjadikan rumah orang yang membuat kenduri kahwin itu semacam pesta dan juga tumpuan keluarga.Saya ada mencoretkan dalam blog ini bagaimana Abang Bedu dan Kakak Sabar berkahwin ,dimana ada program dikir dan pencak silat.Inilah yang membuat kanak-kanak masa itu amat suka sekali.Selain dari itu program membuat kuih kering juga merupakan tempat muda-mudi berkenalan dan bergurau senda dimana ada yang lekuk dahi kena baling tepung yang didalamnya terdapat pinang tua.Inilah realiti kehidupan orang kampung kami dari mula program kenduri kahwin hingga kemakan nasi dihari kenduri yang dihidang secara gotong-royong dengan dibuat pelantar lelari.Semua ini saya telah coretkan dalam blog ini, dan kalau nak ditulis semula akan memakan ruang yang bermuka-muka surat pula.Biasanya setelah makan nasi dikampung kami dihidang dengan pelbagai kuih seperti bahulu,kuih kering,nasi manis dan juga agar-agar.

Ayat dari perkataan diatas yang masih kami gunakan diLembah Bama ialah :-

3.1.Setelah sudah makan nasi dikenduri kahwin rumah Abang Abu itu, para pemuda dan pemudi yang menjadi tukang hidang itu menggangkat dulang ayan berisi kuih muih pula kepada para tetamu yang datang.

Dr Aminudin

No comments: