Friday, December 11, 2009

Memperkenalkan Peribahasa Jepun Digandingkan Dengan Peribahasa Melayu Siri 11


52.Gi wa nagaku inochi wa mijikashi (Seni itu berjangkamasa panjang,kehidupan pula jangkamasa pendek)
Simpulan bahasa tentang kehidupan ada yang berbunyi Hidupkan kenang-kenangan yang bermakna jangan kita lupa apa yang pernah terjadi.Begitu juga dengan pepatah yang berbunyi Hidup tidak kerana doa,mati tidak kerana sumpah yang bermaksud ajal dan maut adalah ditangan Tuhan.Manakala Hidup kayu berbuah,hidup manusia biar berjasa yang bermakna pokok dihargai kerana menghasilkan buah manakala manusia dihargai jasanya.

53.Gen izureba shiba mo oyobazu (Kata-kata kelihatan simple tetapi maknanya mendalam)
Kata hati bermakna idea yang tidak diucapkan.Kata mesti dikota bererti segala janji hendaklah ditepati.Berlawanan pula dengan Kata tidak dipegangnya,janji tidak ditepati yang bermakna mungkir janji.Manakala Kata seorang dibulati,kata bersama diperiakan pula membawa erti yang urusan peribadi diputuskan oleh kita sendiri manakala urusan orang ramai dibuat secara rundingan.Kata tak berpucuk bermakna keputusan terakhir.

54.Genko wa icci senu mono (Kata lain,buat lain)
Cakap lancung bermakna berbohong.Cakap berdegar-degar,tumit diketing yang bermaksud cakap besar tetapi penakut.Cakap berlauk-lauk,telinga tidak bertindik pula bermakna seseorang yang berlagak kaya tetapi dia seorang yang miskin dan bodoh.Manakala cakap berdegar-degar,tahi tersangkut digelegar yang bermakna cakap sahaja besar.Cakap angin pula ialah percakapan yang sia-sia.

55.Gesu no atojie (Kebodohan dipelajari setelah peristiwa berlaku)
Dahulu timah,sekarang besi yang bermakna sudah jatuh hina atau telah menjadi miskin lantaran sebelumnya adalah sebaliknya.Begitu juga dahulu intan ,sekarang jadi batu yang bermakna dahulu mulia sekarang dihina.Begitu juga Dahulu helang pulau,kini sudah menjadi burung pungguk yang bermakna sudah jatuh miskin.Dahulu parang,sekarang besi yang bermakna dulu sayang sekarang benci.

56.Gi o mite nasazaru wa yu nakinari (Buat apa yang betul pada firasat kamu)
Buat baik berpada-pada,buat jahat jangan sekali yang bermakna buat baik biarlah sederhana dan jangan sekali berbuat jahat.Buat galak mata pula bererti tidak elok dipandang.Buat sambal bermakna mudah dikalahkan .Buat nasi tambah adalah mencari punca pendapatan lain bagi menambah pendapatan yang sedia ada.Dan jangan Buat tahi yang bermakna melakukan perkara yang tidak baik.


Dr Aminudin

No comments: