Tuesday, April 13, 2010

Pengenalan Terhadap Hikayat Seri Rama Sebagai Naskhah Tertua DiNusantara-Atipan XX(Strategi Peperangan-Seri Rama )


6.Strategi Menggunakan Peribadi Seri Rama Sebagai Keturunan Nabi- dalam Hikayat Seri Rama dihalaman 202, dicatatkan oleh penulis hikayat ini bahawa Seri Rama adalah keturunan Nabi Adam dan dihalaman 249-250, pula diceritakan yang baginda menyuruh Hanuman keGunong Malakiri untuk mengambil akar kayu bernama wasliwayan yang akarnya ditumbok dan dan diperah airnya bagi menghidupkan dan menyembuhkan kera yang mati akibat peperangan.Saya nukilkan petikan dari halaman 202 seperti berikut :-

"Maka berhadapanlan kedua lashkar itu, maka Maharaja Rawana pun melihat pehak Seri Rama, ia pun bertanya pada hulubalangnya," Hai segala kamu sakalian hulubalang,siapa yang terdiri seperti sapohon lontar itu ?" Maka dilihat Maharaja Rawana Seri Rama itu warna tubuhnya seperti zamrud yang hijau, rupa nya seperti Nabi Adam.Maka sembah Jama Menteri, " Ya Tuanku Seri Maharaja, itulah yang bernama Seri Rama, adapun yang dijadikan Dewata Mulia Raya seorang pun hambanya tiada seperti Seri Rama ".

Manakala Seri Rama yang sayangkan rakyatnya menyuruh Hanuman mencari akar kayu bagi menghidupkan rakyatnya yang banyak mati pula, saya hukilkan dari halaman 249-250 seperti berikut :-

" Maka titah Seri Rama pada Maharaja Surgiwa,"Bagaimana maka kita tiada sayang akan rakyat kita yang tiada tepermanai itu mati kerana pekerjaan perang kita yang kita gagahkan itu " Maka Seri Rama memberi titah pada Hanuman, "Pergilah engkau keGunong Malaikiri mengambil akar kayu wasliwayan namanya akar kayu itu "Setelah Hanuman mengambillah segala bukit disitu digigitnya dan dikembalikan bukit tersebut ketempat asal.Maka daun kayu dan akarnya dan kulitnya itu disuruh Seri Rama tumbuk maka diperah airnya disemborkan pada kera yang mati dan luka itu.Maka segala kera yang luka dan yang mati itu seketika itu juga habis semboh dan yang baru mati itu sekaliannya hidup ".

Analisis-saya telah meneliti kajian oleh Profesor Mohd Taib Osman (1989)tentang sistem kepercayaan orang Melayu dalam buku yang saya paparkan diatas.Saya juga mendapati sistem kepercayaan ini adalah rentetan dari zaman Hindu dan juga diera Islam.Kisah-kisah Nabi umpamanya jelas tertulis dalam al-Quran dengan menyebut sebilangan nabi dan rasul sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT yang terjemahannya seperti berikut :-

Sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa orang Rasul sebelum kamu, diantara mereka ada yang Kami ceritakan kepadamu dan diantara mereka pula yang tidak Kami ceritakan kepadamu (al-Mu'min,40:78)


Namun bagitu bilangan nabi dan rasul ini tidaklah begitu tepat bilangannya. Berdasarkan hadis Abu Zar, semasa beliau bertanyakan kepada Rasulullah SAW mengenai rasul dan nabi,Rasulullah SAW telah menerangkan bahawa bilangan nabi ialah seramai 124,000 orang, manakala bilangan rasul pula seramai 315 orang (Ibn Hajar al-Asqalani,al-Matalib al-Aliyah).Justeru itu para nabi dikurniakan Allah mukjizat, misalnya Nabi Adam AS,dikurniakan pengetahuan tentang nama-nama seluruh benda,Nabi Nuh AS ,dikurnia mukjizat taufan,Nabi Hud AS,dikurnia mukjizat angin yang mengazabkan kaumnya,Nabi Sulaiman yang pernah saya coretkan dimana beliau menguasai angin,jin dan haiwan.Lantaran itu kisah Seri Rama, menghidupkan rakyatnya dengan air akar kayu yang saya jelaskan diatas adalah dipengaruhi oleh kisah-kisah para nabi yang terdapat dalam al-Quran dan juga diturunkan dari generasi kegenerasi.Saya juga mendapati diakhiri Hikayat Seri Rama ini dicoretkan "... Satelah sudah kemudian daripada itu empat puluh tahun Seri Rama dan Sita Dewi dalam pertapaannya maka Seri Rama pun kembalilah dari negeri yang pana kanegeri yang baka ".

Dr Aminudin

No comments: