Dalam kehidupan sebagai seorang petani yang mengerjakan sawah diSungaibatu deRelong, tiga perkara ini iaitu antah, berteh dan kerak nasi adalah diantara perkara yang pastinya mereka mengerti atau ketahui.Namun begitu bebudak sekarang istilah tersebut mungkin jarang mereka dengar atau jumpa.Maklumlah sekarang nasi yang ditanak atau dimasak pakai peruk letrik ianya tiada berkerak.Berteh pula selalu digunakan pada masa orang hendak berjampi atau berpawang masa dahulu dan juga ditabur kepada pengantin bila samping kerumah pengantin perempuan seperti yang pernah saya coretkan dalam blog ini dan sekarang tidak diamalkan lagi.Akhirnya antah yang bebudak sekarang mungkin terjumpa dalam nasi, itupun mereka tahu atau tidak ianya bernama antah yang mungkin mereka buang saja bila berjumpa takala makan nasi.
Antah yang saya selalu pilih ada biji padi yang bercampur dengan beras bila padi telah ditumbuk atau dimesin oleh mesin padi atau ditumbuk dalam lesung padi.Seingat saya Pakangah Derani yang menjalankan mesin pengisar padi dekat rumah Tokempat Uda adalah seorang yang peramah dan baik dengan saya semasa kecil.Dikampung kami kalau untuk mengisar atau menumbuk padi secara banyak kenalah hantar kemesin pengisar padi yang dibuat oleh Pakangah Derani.Walaupun mesin pengisar itu terletak dekat rumah Tokempat saya ada juga berjalan-jalan sampai kerumah beliau diseberang paya Pakandak Dahan yang melalui batas-batas sawah sampai kerumah Maro (kawan saya sama sekolah).Selain dari itu mesin pengisar padi ini menghasilkan bahan sampingan iaitu sekam padi yang boleh digunakan membalut airbatu yang pernah saya ceritakan apabila kami beli pada bulan puasa dikedai Aki Subuh.Jadi Pakangah Derani kerana baik dengan saya yang selalu saya juga mengusiknya bila naik "basikaltua" seperti yang dinyanyikan oleh Sudirman itu memberikan saya secara percuma sahaja sekam padi itu bila-bila saya mahu.
Selain dari itu "antah nasi" memang ada bila orang memasak diwaktu khenduri-kendara dikampung kami seperti yang saya ceritakan.Saya selalu kesabak dan baik dengan Tok Senduk seperti yang pernah ceritakan.Tukang masak yang pandai bertanak macam Abang Nor selalu saya "kacau" bila dia bertanak, jadi kerana kenakalan saya telah dilantik memerhatikan "antah nasi" dalam kawah yang dia masak atau orang lain yang masak seperti Tok Pawang Isa atau Abang Husin Dedeho.Sebagai balasan kepada saya memerhati "antah nasi" saya diberikan kerak nasi yang panas-panas dalam kawah setelah dimasak.Inilah habuan yang saya minat makan dengan kawan-kawan lain beramai-ramai bersama gulai daging yang memang sedap betul bagi kami ketika itu.
Akhirnya berteh adalah antah padi yang saya pilih dan kumpul lama-lama bila banyak ianya digoreng menjadi berteh.Berteh ini biasanya diguna bila Tokpawah nak berjampi ketika kami sakit dikampung dahulu.Saya masih ingat Tok Pawang Muhamad dari Bapong yang pernah menjampi saya mengunakan bertih ini semasa saya demam.Saya lihat dia berkumat-kamit membaca mentera dan kemudian mengambil bertih yang emak isi dalam mangkuk dan kemudian mengambil sebahagianya ditaburkan kepada saya, entah macam mana beberapa ulas dari bertih itu memasuki hidung saya dan saya terbersin amat kuat dan mungkin Tok Pawang Muhamaad agak mengantuk petang itu hingga dia terkejut besar dan hampir terbalik dan kepalanya terkena dinding papan rumah kami.Melihat demikian saya ketawa kuat dan dia juga ikut ketawa.Dia menyatakan pada saya " Keh Mengatuk " .Saya selepas itu berkebah dan baik dari demam.Inilah peristiwa saya terkenangkan Tok Pawang Muhamad dan bertih yang dia selalu suka membantu orang kampung yang inginkan pertolongan dikampung Relong dan Bapong dan saya diberitahu oleh emak dia sekarang telah beristeri muda.
Dr Aminudin
Thursday, October 8, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment