Tuesday, March 30, 2010

Pengenalan Terhadap Kajian Hikayat Seri Rama Sebagai Naskhah Tertua DiNusantara -Atipan XI (Strategi Peperangan -Cina)



II.Strategi Peperangan Cina.

Sejarah Cina memperlihatkan kepada kita banyak melahirkan ahli pemikir strategi peperangan dan strategi-strategi ini mereka kumpulkan ketika dizaman Dinasti Sung lagi yang dikenali sebagai Tujuh Buku Ketenteraan (Seven Military Classics).Dalam buku tersebut terdapatlah penulisan mengenai kaedah Ssu-ma Fa,Seni Peperangan Sun Tzu,Wu-Tzu,Wei Liao Tzu,enam rahsia pengajaran Tai Kung,tiga strategi Huang Shih-Kung dan soal-jawab antara Tang Taisung dengan Li wei Kung.

Peperangan didalam tamadun Cina berlaku kerana konflik dalaman mereka dan juga menentang orang-orang gasar.Motif peperangan pula berbeza-beza mengikut zaman, misalnya masa dizaman Kerajaan Shang peperangan adalah bertujuan untuk menguatkuasa pemerintahan raja, merampas harta orang kaya dan menawan semula tahanan perang.Anggota tentera yang berjaya dalam medan pertempuran akan dilantik menjadi pegawai atau jeneral dan menerima anugerah.Selepas zaman Kerajaan Han ,koloni-koloni tentera mula ditubuhkan disempadan yang tidak stabil.

Struktur Ketenteraan Cina boleh dikatakan diasaskan kepada kepercayaan ugama mereka dan juga pertimbangan moral.Peralatan peperangan yang digunakan dizaman dahulu ialah pisau,pedang,lembing dan kapak.Kebanyakan tentera cina terdiri dari para petani yang dipaksa menjadi tentera.Mulai zaman peperangan sekitar 400-200 Sebelum Masehi,struktur ketenteraan Cina telah banyak berubah dan peralatan baru telah dicipta.

Diantara pemikir Strategi Perang Cina yang terkenal ialah Sun Tzu.Saya banyak membaca buku Strategi hari ini mendapati idea Sun Tzu turut diterapkan dalam dunia perniagaan dan juga perdagangan.Sun Tzu adalah seorang panglima tentera dizaman Kerajaan Wu dan pernah memimpin pasukan tentera bagi mengalahkan negeri Chu dan Ying.Sun Tzu telah menghasilkan buku Seni Peperangan yang dianggap tertua dan terbaik.Dalam buku ini beliau telah mengariskan 13 taktik dan strategi peperangan iaitu :-

1.Merancang peperangan
2.Melancarkan peperangan
3.Strategi menyerang
4.Penempatan tentera
5.Situasi
6.Kelebihan dan kekurangan
7.Muslihat perang
8.Penggunaan pelbagai taktik
9.Mobilasi tentera
10.Bentuk muka bumi
11.Sembilan keadaan
12.Serangan menggunakan api
13.Pengintipan.

Saya tidaklah hendak menghuraikan segala taktik dan strategi diatas,namun sekiranya ada permintaan dari pembaca sekelian saya akan menulisnya,misalnya dari segi strategi pengintipan ini Sun Tzu menerangkan bahawa pengintipan yang dilakukan oleh pemimpin tentera adalah untuk mengumpul maklumat tentang musuh.Maklumat yang dikumpulkan itu akan membantu pemerintah yang mengatur strategi untuk mencapai kejayaan dalam peperangan.Ada berbagai jenis pengintipan yang diantaranya ialah pengintip tempatan,pengintip dalaman,pengintip dua belah pihak,pengintip maut dan pengintip utusan.

Edisi akan datang akan saya coretkan Strategi Peperangan India.Semua ini saya huraikan kerana Kerajaan Cina,Arab,dan India pernah menawan atau memerangi Alam Melayu dizaman lampau, jadi saya hendak melihat Strategi yang mereka gunakan dan bagaimana pula ditulis dalam Hikayat Seri Rama nanti yang merupakan Hikayat yang saya kaji itu.

Dr Aminudin

No comments: