Saturday, January 23, 2010

Anekdot 21-Kumbang,Kelulut dan Kelip-Kelip


Dalam blog ini saya telah mencoretkan binatang yang sering kami jadikan mainan dimasa kami bebudak disungaibatudeRelong dahulu iaitu ikan karim dan juga spider.Kali ini saya coretkan pula tentang serangga yang kami jadikan permainan atau melihatnya sebagai penghibur hati kami iaitu Kumbang,kumbang gajah,kelulut dan juga kekelip.Kesemua serangga ini,masih terdapat lagi dihari ini.Kumbang yang biasanya bagi kami disungaibatuderelong dahulu selalu bersarang dalam kayu pada rumah padi kami,bangsal dan surau We Muhammad.Pada kayu-kayu inilah kumbang mengorek dan membuat lubang, jadi kami akan menangkapnya dengan menggunakan botol yang ditekup pada lubang kumbang bersarang itu, bila kami dapati dia telah memasuki lubang itu.Saya akan menekup kepala botol pada lubang sarang kumbang itu dan biasanya Jefri atau Alim akan mengetuk kayu tempat kumbang itu bersarang.Jadi bila kumbang itu terkejut dia akan keluar dari lubang sarangnya dan masuk kedalam botol yang saya tekup tersebut.Bila kumbang ini telah masuk dalam botol ,kami akan ikat kakinya pada benang yang agak panjang yang kemudian kami lepaskan ia terbang dipadang Pakangah Man menuju kerumah Pakencik Akob itu untuk kami kejar dan bermain-main dengan kumbang-kumbang itu.Inilah permainan yang tidak ada lagi sekarang yang dahulu begitu indah dan mengasyikan kami semasa kanak-kanak disungaibatudeRelong dahulu.Kumbang oh Kumbang, kau begitu indah bila terbang bertali-tali menuju awan.

Berbanding pula dengan Kumbang Gajah yang banyak memakan anak-anak kelapa dan pisang dekat rumah kami ditepi Guabama itu, kadang-kadang banyak sungguh dia mengerjakan pokok-pokok yang ayah kami tanam.Kumbang-kumbang ini adalah mahluk perosak tanaman ketika itu.Ianya kadang-kadang kami kutip dan kadang-kadang dibuat berlaga.Namun ia tidak begitu "menjadi" berlaga berbanding dengan ikan karim atau spider yang kuat berlaga seperti yang kami jadikan peraduan berlaga.Oleh itu kumbang gajah ini hanyalah setakat kami beradu siapa dapat kumbang gajah yang besar atau kumbang gajah yang cantik yang mana kami dapati banyak juga kumbang gajah tersebut yang berwarna-warni.

Kelulut pula adalah sejenis tebuan yang biasanya terdapat pada bawah rumah yang mana ia bersarang pada gelegar rumah atau pokok-pokok tepi rumah kami.Kelulut ini sering kami perhatikan ia menghirup madu-madu bunga dan kemudian membuat sarang kelulut.Oleh kerana lebah dimasa kami bebudak masih banyak membuat sarang dipokok-pokok tualang atau keladan dekat Guabama, susu kelulut kuranglah digemari.Namun saya difahamkan setengah negara seperti Afrika dan India, kelulut inilah mereka usahakan sebagai menghasilkan madu.Masa dahulu saya pernah juga merasa susu kelulut atau sebenarnya madu kelulut yang sedap tetapi hari ini saya percaya tidak ada lagi dikampung kami (Relong).

Akhirnya kelip-kelip yang mengeluarkan cahaya dibawah perutnya, sering saya lihat banyak dekat pokok rambutan kami tepi paya menghadap Guabama itu.Biasanya bila rumah kami atau rumah Pakangah Man ada membuat kenduri, ramailah bebudak datang dan kebetulan kelip-kelip ini ada,jadi kami tangkap beberapa ekor dan masukan dalam botol yang warna jernih , ia akan kelihatan cahaya yang cantik dan biasanya kami gantung botol-botol itu dibangsal dekat rumah kami itu.Inilah pemandangan kelip-kelip yang cantik diwaktu malam kenduri dirumah kami yang biasaya menggunakan lampu gaslin ketika itu.Hari ini semua rumah dikampung Relong telah ada api letrik dan kalau ada kelip-kelip pun sudah hilang kecantikan cahayanya kerana cahaya letrik yang terang itu.Namun begitu semasa saya bertugas diPejabat Tanah Temerloh,Pahang saya dapati rumah kami tepi padang bola itu banyak kelip-kelip tinggal diwaktu malam, dan ini mengingatkan saya kepada kelip-kelip disungaibatu dahulu.Selain itu itu kelip-kelip ini juga dipanggil kunang-kunang telah dijadikan "tarikan pelancung" oleh agensi pelancungan diKelang bagi orang ramai datang kesitu.Inilah anugerah Allah yang perlu kita jaga.

Dr Aminudin

No comments: