Saturday, January 16, 2010

Anekdot 20- Kulur,Kundur dan Kemili (Ubi)


Kali ini ingin saya coretkan tentang sayur-sayuran yang menjadi kegemaran kami bebudak diSungaibatudeRelong masa dahulu.Diantaranya sayur buah kulur,sayur kundur,sayur keladi kemahang yang telah saya coretkan dalam blog yang lalu, begitu jugalah acar mentimun,sayur kacang panjang, ubi kemili dan lain-lain.Biasanya sayur-sayur ini menjadi bahan perencah atau penyedab bagi sayur yang dicampur dengan ikan puyu,toman, sembilang,sebarau,lampang,potak dan lain-lain jenis ikan.Manakala masakan itu biasanya dibuat masak lemak atau masakan tempoyak.Pokok kulur yang kami panggil disungaibatu, jarang sudah kelihatan sekarang, namun ia seakan pokok " sukun" sekarang ini dan buahnya agak lebih kurang sama, namun "sukun" hari ini boleh digoreng dan sedap rasanya.Buah kulur dimasa kami bebudak dahulu ,semasa mudanya boleh dibuat sayur lemak atau sayur tempoyak dengan ikan puyu atau ikan toman yang bila dimakan dengan nasi, kami pasti makan dengan banyak.Manakala yang sudah tua pula bijinya sedap direbus dan dibuat sayur juga.Buah kulur ini bila berbuah dan bertembung dengan musim buah-buah lain ia tidak akan terusik.Ia jatuh bergelempangan dibawah pokok dekat rumah lama kami ditepi Gua Bama itu. Bebudak macam saya, Jefri dan Alim akan memijak-mijak buah yang bergelempangan yang tidak dikutip orang itu, supaya terpancut bijinya dimerata-merata kawasan itu dan kemudian mengutipnya untuk diberi kepada jiran-jiran yang mahu.Perbuatan memijak-mijak buah kulur inilah yang mengembirakan kami ketika itu malahan bersorak gembira bila melihat biji kulur yang terpancut paling jauh, malahan kadang-kadang tergelincir dan terduduk atas empulur buah kulur yang pecah itu.

Buah kundur pula masih boleh didapati hingga kehari ini, namun saya jarang melihat orang kampung Relong menanamnya lagi.Dahulu pokok ini ada ditanam bersama-sama pokok labu dicerang-cerang terutama dikampung Keledek tempat saya selalu mencari landak dengan We Idin.Namun hari ini kundur ditanam oleh petani kaum Cina dan boleh dibeli dipasar besar.Dimasa kami dahulu, selain sayur labu dibuat juga oleh orang yang kenduri kahwin sayur kundur yang dimasak lemak atau masa air.Hari ini agak jarang bila orang kenduri kahwin menghidangkan sayur kundur lagi.Selain dari itu kundur juga ada dibuat "serawa" bagi dihidangkan sebagai kuih dimusim raya puasa dan saya juga teringatkan "serawa" kelapa yang seakan "serawa" kundur dikampung kami dahulu, namun hari ini saya dapati sudah jaranglah kelihatan dihidangkan dirumah orang kampung Relong kerana sebagaimana saya katakan orang Relong sedang menuju kezaman modenisasi.Atau mungkin "kundur " yang boleh dianggap "mundur" yang perlu dilupai ?

Manakala ubi kemili (Coleus tuberosus)adalah yang berwarna putih dan unggu (warna biji kundang)yang menjadi kegemaran kami masa bebudak dahulu.Hari ini susah benar nak kelihatan dikampung Relong ataupun diKuala Lipis.Ubi kemili kalau dibuat sayur masam (masakan tempoyak),begitu sedap sekali hingga menjilat jari, kata bebudak sekarang, dimana biasanya emak kami mencampur dengan ikan puyu atau ikan "kepor".Ia menjadi lebih sedap lagi kalau cara masakanya menjadi ubi kemili itu "lekit" dan ikan puyu pula baru ditangkap dari paya musim padi masak.Oh! begitu manis rasanya.Selain dari itu ubi ini direbus masa musim hujan yang kami bebudak tidak boleh kemana-mana dan juga ianya dimakan dengan ubi kayu yang dibakar dekat bangsal rumah lama kami ditepi Gua bama itu, sambil melihat air mulai naik dekat gedung wan dan menunggu ikan akan naik "lek "( ikan akan bermain dan menghempaskan telor ) dekat paya rumah kami dan Pakangah Man, disungai batu.Inilah kenangan yang tidak dapat lagi dilihat dimana-mana lagi cuma diSungaibatudeRelong dahulu.

Namun inilah pantun berkaitan kemili yang saya nukil dari Hikayat Raja Donan (MS 80)
yang boleh kita kongsi bersama-sama:

Kemili berjunjung naik,
Datang selingkar jatuh kelubuk,
Jerangkan air dipangkal titi,
Saya berdiri sudah nak naik,
Berilah tikar saya nak duduk,
Berilah air pembasuh kaki.

Dr Aminudin

No comments: