Friday, February 26, 2010

Bahasa Dari Perspektif Islam






Kamus Dewan Bahasa (1986) memberi makna Bahasa ialah sistem lambang-lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (diantara seorang individu dengan individu yang lain dsb).Sedangkan Dr.Steingass (1986) dalam Kamus A Learner's Arabic-English Dictionary, memberi makna 'Lugat' secara ringkas sahaja iaitu Language,dialect.Jadi dapatlah saya katakan bahawa Bahasa itu ialah satu sistem perlambangan mempunyai suara dan bunyi yang dituturkan secara tertib, halus dan berbudi-bahasa oleh sipenyampainya.Terdapat banyak Teori yang dikemukankan oleh ahli sarjana linguistik barat tentang asal usul bahasa yang mana diantaranya ialah :-

i.Teori Poh-Poh yang mengatakan bahawa bahasa yang dilahirkan dari naluri semula jadi manusia yang mana mereka memerlukan bahasa untuk berkomunikasi sesama mereka.

ii.Teori Bow-Bow yang mengatakan manusia boleh bertutur setelah mendengar suara haiwan.Jadi manusia meniru bunyi haiwan itu untuk berkomunikasi sesama mereka dan akhirnya melahirkan suara bunyi oleh mereka sendiri pula.

iii.Teori Ding-Dong pula mengatakan bahawa manusia dapat menghasilkan bahasa setelah belajar dari pengalaman dengan alam sekeliling mereka.

Selain dari itu para sarjana linguistik barat turut memberikan hujah bahawa masyarakat zaman primitif adalah masyarakat yang mula-mula menggunakan bahasa yang kemudiannya masyarakat dizaman Neolitik telah memperbaiki bahasa itu hinggalah mereka menjadi masyarakat menetap dan mengusahakan pertanian yang memerlukan banyak perbendaharaan kata dalam komunikasi mereka dan tamadun turut berkembang berserta perkembangan bahasa dalam kehidupan dan kebudayaan mereka.

Semua teori-teori dan pendapat para sarjana linguistik barat itu kita dapati bercanggah dengan pendapat atau dari perspekif Islam.Ini kerana dalam al-Quran, Surah al-Baqarah,Ayat 2:31 yang terjemahanya bererti, " Dan Dia telah mengajar Nabi Adam,akan segala nama benda-benda seluruhnya dan gunanya ",kemudian ditunjukkan kepada Malaikat lalu Dia berfirman: "Terangkanlah kepada Aku nama benda-benda ini semuanya,jika kamu golongan yang benar ".Dari ayat tersebut jelas kepada kita bahawa Allah SWT telah menurunkan Wahyu kepada Nabi Adam AS untuk mengenal Allah SWT bagi mengukuhkan bahawa kejadian manusia yang paling sempurna dan pelbagai kekuatan telah diberikan kepada Nabi Adam AS dan sekelian keturunannya.Antaranya ialah kekuatan untuk berbahasa disamping untuk berfikir yang ini adalah merupakan kekuatan manusia sebagai makhluk Allah SWT ,dimana mempunyai kekuatan serentak iaitu berfikir dan berbahasa.Sedangkan pendapat para sarjana linguistik barat telah mengatakan diatas tadi bahawa masyarakat primitiflah yang mula-mula sekali mencipta bahasa,ini bercanggah dengan pandangan Islam yang telah kita jelaskan dalam ayat al-quran diatas juga yang mana Nabi Adam ASlah dan keturunannya yang memulainya.

Bersambung

Dr Aminudin

Wednesday, February 24, 2010

Kronologi Hadis Dan Tokoh Hadis Imam al-Nawawi



Hadis yang adalah juga dipanggil al-Sunnah mempunyai kedudukan yang tinggi dalam pembentukan hukum-hukum Islam.Ia merupakan sumber rujukan kedua dalam syariat Islam selepas al-Quran.Sejak abad pertama Hijrah para ulama begitu prihatin terhadap Ilmu Hadis terutama dalam dalam usaha mengumpul nas-nas dengan cara menghafalnya.Teknik penghafalan ini boleh dikatakan berterusan sehingga kezaman pemerintahan kulafah al-Rashidin.Pada abad yang ke2 Hijrah, hadis mula dikumpulkan dan dibukukan yang diantara kitab yang ditulis diantaranya Muwatta alImam Malik,Musannaf Sufyan Ibn Uyaynah dan lain-lain lagi.Pada abad yang ke3 Hijrah pula terdapat ulama-ulama hadis yang terkenal seperti Imam al-Bukhari,Muslim,Abu Dawud,al-Tirmidhi dan lain-lain.Pada abad yang ke3, Hijrah pula dianggap zaman kegemilangan bagi perkembangan hadis dan pengajian terhadapnya.Perkara ini berlanjutan hinggalah keabad yang ke7, Hijrah dimana zaman al-Nawawi yang pada amnya banyak menumpukan kepada kajian terhadap hadis iaitu kepada karya-karya yang dihasilkan sebelumnya.

Imam al-Nawawi telah memberikan sumbangan yang cukup besar kepada Ilmu hadis iaitu displin yang digelar Ilmu Riwayah Hadis dan juga displin ' Ulum al-Hadis '.Diantara sumbangan terhadap nas hadis Imam al-Nawawi banyak menghasilkan karya yang diantaranya ialah Al-Adhkar,Matn al-Arbain,Sahih Muslim dan lain-lain lagi.Manakala beliau menulis dalam displin 'Ulum al-Hadis' pula beliau telah menghasilkan karya yang berjudul al-Irshad Fi Ilm al-Hadis, al-Taqrib wa Taysir,Tahdid al-Asma wa al-Lughat dan Tabaqat al-Fuqaha.Nama penuh Imam al-Nawawi ialah Yahya ibn Sharaf ibn Murri ibn Hasan ibn Husayn ibn Muhammad ibn Jumah ibn Hizam al-Hazami al-Nawawi al- Dismahqi al-Shafii, Abu Zakariyya Muhyi al-Din.Kuniyah beliau ialah Abu Zakariyya dan gelaran beliau pula adalah Muhyi al-Din.Beliau telah dilahirkan pada bulan Muharam pada tahun 631 Hijrah(1233 Masehi) disebuah kampung bernama Nawa yang dijaga oleh bapanya yang merupakan seorang peniaga.Pada usianya 19 tahun al-Nawawi telah berhijrah keDamsyik bagi melanjutkan pengajian dan belajar diMadrasah al-Rawahiyyah yang letaknya berdekatan Masjid Umawi,dimana gurunya ketika itu ialah Syeikh Kamal al-Din Ishaq al-Maghribi dengan belajar pelbagai ilmu seperti hadis,fiqah,tauhid, bahasa Arab dan lain-lain.

Pada tahun 651 ,Hijrah bapanya telah membawa Imam al-Nawawi menunaikan haji keMekah dan setelah beliau menimba ilmu, beliau telah memberi sumbangan dengan menyibar ilmu yang diperolehinya itu dengan menjadi guru di Daral al-hadis al-Ashrafiyyah,Madrasah al-Iqbaliyyah dan alFalakiyyah.Beliau telah menetap diDamsyik lebih kurang 28 tahun.Dari segi fizikal dan wajah beliau ialah berkulit hitam manis dan berjanggut lebat serta mempunyai tubuh badan yang sederhana serta raut wajahnya mencermin jiwa seorang yang tenang dan damai.Imam al-Nawawi telah wafat pada malam 4 Rejab tahun 676 Hijrah dikampungnya Nawa pada usia 46 tahun. Sesungguhnya sumbangan beliau yang terbesar kepada umat Islam ialah hasil karyanya yang menjadi warisan sepanjang zaman.

Dr Aminudin

Thursday, February 18, 2010

Kajian Ilmiah Tentang Hadis : Satu Pengenalan




Dalam tulisan saya yang terdahulu ,saya telah mengariskan bagaimana sekiranya anda bercadang untuk menulis artikel atau kajian ilmiah tentang Islam. Kali ini saya bentangkan pula cara pendekatan untuk anda mengkaji hadis.Pokoknya kita mengkaji hadis adalah tanda kita yakin kepada Allah dan Utusannya iaitu Nabi Muhammad SAW.Segala ajaran yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW adalah datang dari Allah.Ini dibuktikan dalam banyak ayat-ayat al-Quran dan diantara ayat-ayat tersebut ialah Surat an-Najm, ayat 3-4 yang bermaksud " Beliau (Muhammad) tidak berkata-kata berdasarkan nafsu,kata-katanya adalah yang diwahyukan kepadanya ".Begitu juga dalam Surah an-Nahl, ayat 44 yang bermaksud " Kami turunkan Al-Quran kepadamu supaya engkau( Muhammad)memperincikan kepada manusia isi kandungan al-Quran itu ".

Hadis bolehlah kita ertikan secara amnya sebagai berita yang berkaitan dengan diri Nabi Muhammad SAW yang terangkum dalamnya ucapan baginda, ulasan para sahabat tentang perbuatan baginda dan ulasan para sahabat tentang sifat baginda.Banyak tokoh-tokoh hadis yang terkenal antaranya seperti Bukhari dan Muslim yang mana mereka menggunakan pendekatan yang kukuh dan jitu telah melahirkan hadis-hadis sahih sahaja.Diantara syarat-syarat untuk menghasilkan hadis-hadis sahih adalah :-

i.Susur galur perlu bersambung diantara semua penyampai hadis
ii.Para penyampai hadis perlu berstatus 'adil'
iii.Para penyampai hadis perlu berstatus 'kuat daya ingatan'
iv.Teks hadis perlu selari maksudnya (khususnya versi hadis dan susur galur yang lebih kuat )

Hadis yang tidak dapat dipastikan kebenarannya digelar Hadis Hasan dan Hadis Daif.Manakala hadis yang ditolak dipanggil Hadis Maudu'.Hadis Hasan adalah baik tetapi tarafnya dibawah Hadis Sahih kerana pelapur hadis ini didapat kurang daya ingatanya.Hadis Daif yang bermakna lemah itu kerana tidak memenuhi ciri-ciri Hadis Sahih umpamanya susur galur yang tidak bersambung,pelapur hadis ini tidak berstatus 'adil',pelapurnya juga tidak mempunyai daya ingatan yang kuat dan didapati juga teks hadisnya tidak selari.Akhirnya Hadis Maudu' adalah bermakna rekaan.Ianya juga dikenali sebagai Hadis Palsu yang mula-mula muncul dizaman tabi'in kian berkembang selepas Khalifah Uthman bin Affan yang muncul akibat bermacam-macam faktor.Hadis Maudu' boleh dikesan melalui berbagai-bagai cara diantaranya melalui susur galur hadis,identiti pelapur hadis,tulisan para sarjana hadis dan isi kandungan hadis.

Justeru itu saya harapkan selamat mengkaji hadis dan saya paparkan dalam Database saya beberapa buku yang baik bagi menarik minat anda untuk membaca dan mengkaji hadis iaitu :-

1.Hasnan Abu Bakar,Apa itu Ilmu Hadis ?,PTS Islamika, 2009
2.Dr.Zulkifli Mohamad al-Bakri,Hadis-Hadis Peringatan Buat Umur Insan,Telaga Biru SB,2008.
3.Muhammad Bukhari,Hadith 40 Imam Nawawi,Penerbitan Seribu Dinar SB,2010.

Dr Aminudin

Monday, February 15, 2010

FELDA JENGKA 4 Dan Generasi Keduanya


Pada hari Isnin bersamaan 15hb Februari 2010, saya berkesempatan menghadhiri perkahwinan anak Akak Milah diJengka 4.Majlis itu begitu meriah dimana Atan yang memanggil saya We, Minum telah mengakhiri zaman bujangnya.Ramai saudara mara kami terutama dari Sungaibatuderelong hadir.Menu yang menarik perhatian saya ialah umbut kelapa turut dihidangkan seperti mana saya pernah coretkan dalam blog ini dalam anekdot saya.Perubahan yang ketara dari segi pembangunan FELDA ialah infrastruktur dan bangunan rumah peneroka dari dahulu hingga sekarang.Dahulu masa kami menghantar Akak Milah dan Abang Mat Skuter keJengka 4 ialah jalan tanah merah dan rumah kayu dan sekarang kebanyakan jalan dalam skim FELDA Jengka telah bertar dan rumah pula telah diubah-suai dan dibesarkan menjadi rumah batu.Manakala para peneroka pula sekarang telah berusia dan ada yang telah mulai sakit.Justeru itu satu skim kepada warga berumur hendaklah ditambahbaik dari segi menjaga kebajikan mereka dari segi perubatan dan bantuan perubatan.Saya juga melihat harga kelapa sawit dan getah yang sering turun naik itu perlu distabilkan bagi menjamin sumber kewangan yang mantap bagi peneroka FELDA ,ini perlu kerana bagi generasi kedua FELDA tidaklah begitu jelas halatuju yang dirancang untuk mereka.Mereka seolah-olah dibiarkan bergantung pada generasi FELDA yang pertama.Ini akan membebankan mereka sekiranya anak ramai dan kajian tentang perspektif ekonomi generasi kedua FELDA perlulah dibuat bagi mengenal pasti permasalahan dan cara hendak menyelesaikanya.Perkara ini patut dijalankan dahulu diFELDA dalam Negeri Pahang dahulu kerana bilangan penempatan FELDA adalah yang banyak dan Perdana Menteri sekarang pula adalah orang Pahang yang saya dapati berminat dalam hal ehwal FELDA.Manakala saya pula bersedia untuk memberikan pandangan sekiranya diminta.

Sekian dan Selamat Pengantin Baru Atan dan Serangkap Pantun Dinukil Dari Mastika September 1959 berbunyi :-

Ruak-ruak mandi dipaya,
Orang Menumbuk diPulau Hantu,
Mak beruntung bapa suka,
Kawin anak sambut menantu.
Dr Aminudin

Monday, February 8, 2010

Memperkenalkan Peribahasa Jepun Digandingkan Dengan Peribahasa Melayu Siri 17


83.Hito okushite ten ni katsu (Orang Lelaki kalau dah berjumpa semula mungkin meminda semula halatujunya)
Pepatah tentang orang diantaranya Orang itu orang empat ganjil,lima genap yang bermakna suka berbantah dan berlainan pendapat.Orang sejambak bermakna ahli keluarga.Orang tempang jangan dicacat, ingat-ingat hari belakang yang bererti jangan mengata orang, nasib sendiri belum tahu.Orang pindah-pindahan, bertanam tak boleh makan yang ertinya kalau selalu tukar kerja akan rugi sahaja.Orang yang selancaran alu,atap yang berjahit, bendul bertekan yang bermaksud pertalian yang dekat menurut adat.Orang pendorong gendang kena yang bermakna kalau kurang sabar, lebih banyak akan rugi.

84.Hito no cho o totte onore no tan o oginae (Bagi membaiki diri kita adalah baik mengikuti contoh yang baik dari orang lain)
Buat baik berpada-pada,buat jahat jangan sekali yang bermakna buat baik biar sederhana dan jangan sekali-kali berbuat jahat.Buat akal bermakna mencari helah.Diri diperingan bermakna hilang semangat.

85.Hito no chotan wa ainakabasu (Kebaikan dan keburukan kadang-kadang saling mengimbangi)
Simpulan bahasa Melayu kita ada mengatakan Buruk baik tiada bercerai yang bermakna kesusahan mungkin diperolehi pada tiap-tiap masa.Buruk,buruk kayu gaharu,dibakar berbau juga yang bermakna biar kita miskin kalau setia namanya tetap dikenang.
Buruk kulit bak embacang yang bermakna nampak bodoh tapi pandai.Buruk-buruk hak kita,molek-molek hak orang yang bermakna milik sendiri lebih disayangi biarpun buruk.Buruk perahu,buruk pengkalan yang bererti tidak sudi melihat rumah bekas isteri.

86.Hito no furi mite wagafuri naosa( Adalah bijaksana kalau kita melakukan kesilapan itu membaikinya pula)
Siapa yang menjala,siapa terjun yang bermakna siapa yang ingin dialah yang berusaha.Siapa sakit,siapa menyiuk yang bererti orang yang salah akan merasa.Siapa melompat,siapa patah yang bermakna siapa yang ingin, dialah yang menanggung susah.Siapa cepat beroleh dulu,siapa kemudian berputih mata yang bermakna siapa cepat dialah yang dapat.

87.Hito no issho wa omoni o ote toki michi o yukuga gotoshi (Sebuah kehidupan mungkin dikaitkan dengan satu perjalanan yang panjang yang dibebani oleh masalah yang berat ditanggung oleh sesorang)
Beban berat senggulung batu yang bermakna tanggungan yang sangat berat.Galas habis senggulung tandas,lamun dihitung rugi juga yang bermakna buat kerja tapi rugi.Galas terdorong kepada cina yang bererti sudah terlanjur tidak dapat ditarik balik.

Dr Aminudin

Thursday, February 4, 2010

Peranan Statistik Dalam Kajian Ilmiah


Dalam siri yang lepas, saya telah menulis tajuk Bagaimana menulis tulisan ilmiah.Kali ini kita lihat pula peranan statistik dalam penyelidikan sains sosial atau kajian ilmiah.Statistik ,berdasarkan Dictionary of Science and Technology, oleh Simon Collin,2003 mengatakan Statistics atau Perangkaan adalah " the study of measurements taken from samples".Biasanya perangkaan dibahagikan kepada jenis diskriptif dan juga indaktif.Cara-cara kita mengumpul data,menyusun data dan mengolah data yang dipanggil diskriptif, manakala kesimpulan yang ditarik dari perangkaan itu kita namakan indaktif.Dalam penyelidikan sekarang kita menggunakan statistik untuk membuktikan kajian kita tepat dan benar dari pendekatan ilmiah.Umumnya sesuatu penyelidikan atau kajian ilmiah itu mengikut langkah-langkah berikut iaitu :-

1.Intipati persoalan yang ingin dikemukakan
2.Melakukan pengamatan/pemerhatian dan pengumpulan data
3.Membina hipotisis
4.Membentuk teori
5.Melakukan verifikasi

Dalam kehidupan kita seharian kita berhadapan dengan bermacam-macam statistik,bila kita membaca akhbar kita dihidangkan dengan bermacam-macam statistik,dalam bidang pelajaran anak-anak kita diajar berbagai bentuk statistik dan bila mereka besar dan berkerja ada pula berkhidmat diJabatan Perangkaan Malaysia.Malahan perkataan "Statistics" sendiri berasal dari perkataan "state" atau "staat " yang bererti negara.Ahli ekonomi macam saya menggunakan statistik bagi melihat pertumbuhan negara berdasarkan KDNK dan kadang-kadang mengira nilai tukaran wang asing kita yang semakin mengecut kerana kadar inflasi yang kian meningkat, sedangkan kerajaan melaungkan slogan "rakyat diutamakan".Inilah peranan statistik dalam kehidupan kita disamping telah lama digunakan oleh ahli ilmuan dalam penyelidikan dan kajian ilmiah.

Selamat menggunakan statistik dalam penulisan dan kajian ilmiah anda.

Dr Aminudin

Wednesday, February 3, 2010

Memori Alam Persekolahan SMSAH atau JENAN 4


Banyak juga tulisan saya tentang Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra,Kedah yang lebih terkenal nama jolokannya JENAN.Ini adalah siri yang keempat atau sebenarnya yang kelima termasuk artikel saya yang terakhir berjudul "Saya bangga menjadi bekas pelajar SMSAH atau JENAN " ,bertarikh 25 Januari 2010.Dalam memori yang sebelumnya iaitu memori JENAN 1,2,3 adalah coretan tentang bagaimana saya yang duduk jauh dipendalaman Pahang yang digelar Ulu Lipis, sanggup belajar diKedah sedangkan kemudahan infrastruktur dimasa itu amatlah kurang jika dibandingkan dengan zaman sekarang yang begitu maju dengan lebuhraya yang banyak dan juga bermacam-macam jenis kenderaan.Begitu jugalah dengan kawan-kawan saya sekarang yang banyak yang berjaya dengan kerjaya mereka masing-masing dan berpangkat besar.Namun hubungan persahabatan diantara kami tetap terjalin dengan adanya kumpulan informal yang ditubuhkan.Misalnya kumpulan batch kami tahun 1971 yang dipelopori oleh Azman dari Bernas.Saya juga berharap generasi bekas-bekas pelajar JENAN akan datang dapat meneruskan semangat seperti ini.

Saya difahamkan sempena sambutan JENAN sebagai 20 sekolah terhebat diMalaysia dapatlah semangat cintakan ugama ,tanah air, dan persahabatan dipupuk dalam jiwa anak sekolah sejak kecil lagi.Ini adalah kerana semasa saya bertugas diBahagian latihan,JPA ,saya mendapati ada dikalangan anak bangsa kita bila telah berjaya telah melupakan sumbangan bakti negara kepada mereka.Akhirnya dalam entry ini saya muatkan foto lama menunjukan Kelab Wayang Gambar JENAN yang saya sertai bersama-sama kawan senior misalnya Pope,Md.Khir dan Sabri Yusuf (Sabri Yusuf pernah berkhidmat diJPA, bersama saya semasa pejabat kami diJalan Tun Razak,Bangunan Bernama)

Dr Aminudin

Bagaimana Menulis Tulisan Ilmiah


Dalam Database saya dalam blog ini telah saya sinaraikan buku berjudul "Research in Islam : Basics,Principles and Practical Suggestion " oleh Ahmad Von Denffer,1985.Dalam buku itu digariskan panduan yang berguna pada para pelajar atau sesiapa saja yang berminat untuk menulis artikel dan juga kajian tentang Islam atau kajian yang berkaitan dengannya.Bagi siri ini saya huraikan bagaimana penjelasan buku tersebut tentang pendekatan yang digunakan untuk menulis kajian atau artikel yang beliau gunakan formula yang dipanggilnya LBC(S).

L yang dimaksudkan oleh beliau ialah Lead yang dipinjam dari istilah kewartawanan yang sering juga kita panggil Pengenalan.Kemudiannya ialah B yang dimaksudkan Body dan C ialah Conclusion yang kita panggil Kesimpulan dan S(summary) yang boleh kita gelar Intipati/Ikhtisar.

Mengenai Pengenalan adalah Tajuk yang kita pilih untuk tajuk kajian yang akan anda huraikan dan jelaskan kepada para pembaca , dimana body kajian pula apa yang anda tulis itu atau kaji itu adalah juga termasuk penjelasan tentang kajian anda,cara kajian anda dan batas-batasan kajian anda.Manakala kesimpulan adalah peringkat terakhir kajian anda itu yang memuat kesimpulan atau finding kajian anda.Biasanya setiap kajian akan disokong oleh bahan-bahan rujukan yang anda gunakan baik secara bahan pertama atau bahan kedua.Bahan pertama misalnya soal-selidik, temuduga,kajian lapangan dan lain-lain.Sedangkan bahan kedua adalah sumber dari perpustakaan,web site,akhbar,berita dan lain-lain.

Ringkasan kajian atau dipanggil juga sinopsis, bolehlah anda letak dihadapan tulisan atau belakang kajian itu untuk menarik perhatian pembaca atau pihak yang meminta anda membuat kajian bagi mereka baca dengan cepat dan dan dapat membuat kesimpulan yang tepat.

Selamat menulis rencana bercorak keIslaman.

Dr Aminudin